Breaking

Saturday, August 31, 2019

Saturday, August 31, 2019

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!

Dua hari lepas lauk masak lemak cili api nenas bersama tulang ikan masin inilah yang jadi hidangan keluarga aku. Dah lebih ratusan, mungkin dah ribuan kali aku masak lauk ni. Kesedapanyan dah tentulah dari masam-masam manis nenas di tambah kemasinan ikan masin dan lemak santan kelapa. lebih-lebih lagi berperisa pedas citarasa masakan Negeri Sembilan yang sinonim dengan masak lemak cili api yang pedas meletup.

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!
Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!

Macam biasa, en suami yang paling suka akan masakan ini. Maklumlah dia anak Negeri Sembilan jati. Itulah masakan yang mesti ada sekurang-kurangnya 2 - 3 kali seminggu atau mungkin lebih tapi tukar-tukarlah bahan-bahannya walau masih di panggil masak lemak cili api juga. Memang bertambah-tambah nasi di pinggan di buatya.

Kepedasan ikut citarasa sendiri tapi boleh di sesuaikan rasanya untuk yang tak nak terlalu pedas. Kalau orang Negeri Sembilan memang nak terasa kepedasannya. Barulah sedap terangkat rasanya. Ikan masin tu, kali ini en suami beli yang besar gedabak tulangnya. Tapi masih banyak lagi isi pada tulang-tulang tu. Keras betul tulang-tulang tu sehingga bersusah payah nak memotongnya.






Pastikan santan betul-betul pekat. nanti kalau cair memang pecah dia punya kuah tu dah tak cantik dan rasa pun jadi kurang. Faktor mengacau masa memasak pun penting iaitu kena kacau sentiasa untuk mengelakkan santan pecah minyak. Jadi jangan tinggalkan dapur walau sekejap. Marilah kita tengok resepi pula.

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!


Bahan-bahan:

1 biji nenas sederhana
1 keping tulang ikan masin
15 biji cili api
1/2 inci kunyit hidup
2 ulas bawang merah
1 batang serai
2 cawan santan pekat 
1keping asam keping
1 atau 2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

Nenas di buang kulit dan hidungnya serta di hiris nipis dan kecil. Tulang ikan di potong ikutlah besar mana yang di kehendaki. Cili api di tumbuk lumat bersama kunyit hidup dan bawang merah. Serai di titik sahaja.

Masukkan bahan tumbuk, serai dan asam keping ke dalam periuk. masukkan secawan santan pekat dan secawan santan cair. Panaskan api dan masakkan bahan sehingga hampir mendidih.

Masukkan nenas dan tulang ikan kacan sentiasa dan tunggu sehingga mendidih lagi. Masukkan secawan santan pekat. Sekiranya nak kuah banyak, boleh masukkan air lagi. Kalau rasa ok, tak perlu. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Pastikan gulai sentiasa di kacau untuk mengelakkan terjadinya pecah minyak. Bila gulai dah mendidih sekali lagi dan sudah pasti gulai elok kejadiannya... bolehlah di angkat tapi truskan mengacau sehingga suhu panas menjadi agak suam agar gulai tak pecah minyak.

Dah siap semua, bolehlah di hidangkan. Nak tengok resepi lagi.... klik SINI

p/s : Rasanya, ummph... sedap macam biasa... hihi !

Wednesday, August 28, 2019

Wednesday, August 28, 2019

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Bila dah ada pressure cooker ni, macam-macam yang nak di masak kat situ. Kali ni aku teringin masak dan makan rendang ayam pencen pula. Hujung minggu lepas terjadilah rendang ayam pencen guna pressure cooker ni. Sedap macam biasa dan isi ayamnya memang jadi betul-betul lembut. Masak pun tak renyah langsung rendang ayam pencen guna pressure cooker ni jadinya.

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker
Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Tapi, macam mana pun takkan sama yang masak macam biasa tenggek atas dapur dan kacau lama tu. Warnanya tak menjadi kehitaman seperti biasa. Dari segi lain iaitu rasa tak jauh beza dan sedap tapi terasa juga rempah-rempah tu tak begitu mercik masaknya. Kalau nak yang tak payah penat mengacau dan menunggu di dapur elok guna pressure cooker la. Abaikan kekurangannya tu kan!





Resepi macam biasa, turun temurun dari Rembau Negeri Sembilan. apapun ada yang dah derhaka sikit. Kata orang, rendang sana tak bubuh asam keping tapi aku letak asam keping. Ikit sukalah sendiri aku je ... kan...! Serbuk kari biasanya pakai yang jual di pekan Rembau dalam paket kecil warna kuning. Tapi tak ada yang tu, kebetulan ritu en. suami ada hal kat sana, tak reti dia nak beli.

Penyediaan Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker
Penyediaan Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Kita tengoklah resepi ini... resepi biasa je tapi rasanya tu luar biasa. Dulu masa rajin berniaga, ada dapat tempahan rendang ini dari kawan-kawan dan pelanggan. Sekarang kalau ada pun tempahan dari saudara rapat dan kenalan terdekat je. Kalau ada yang nak tempah, aku buat je, ada juga rezeki.... Membebel lebih-lebih pula... resepi lihat di bawah..!

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker


Bahan-bahan:

1 ekor ayam pencen 
4 cawan santan pekat (2 biji kelapa)
1 helai kunyit (di koyak) 
3 btg serai (di titik)
4 biji bawang merah (hiris halus)
3 ulas bawang putih (hiris halis)
1/2 inci halia (hiris halus) 
1/2 bungkus serbuk kari daging
1 keping kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang 
2 keping asam keping 
1 sudu teh gula - jika suka 
garam secukup rasa

Bahan Kisar: 

4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih 
3 btg serai 
3 inci halia 
1 inci kunyit hidup 
1 inci lengkuas 
20 tangkai cili kering atau 3 sudu besar ciling giling 
20 biji cili api 

Cara Membuat: 

Ayam di potong kecil2. Masukkan ayam, bahan kisar, serbuk kari, serai titik, bahan hiris, daun kunyit, kulit kayu manis dan bunga lawang kedalam pressure cooker. Masukkan juga santan dan asam keping serta garam dan gula. Set pressure cooker ke mod pressure dan pilih mod meat selama 30 minit. 

Selepas 30 minit, pilih pula mod stir fry, dan kacau rendang sehingga kuahnya kering. Sementara tu boleh sesuaikan rasanya dan kalau kurang rasa boleh tambah garam atau gula. Bila dah kering bolehlah di hidang kan. 

Selain terasa sangat mudah memasak rendang kali ni. ada beberapa perkara yang patut aku ubah untuk memasak rendang ini selepas ni. Iaitu kurangkan masa 30 minit tu ke 20 minit atau kurang lagi. Lepas tu sambung keringkan kuahnya di dalam kuali cara biasa. Barulah lebih cantik dan menarik rasa dan rupa masakan tu. Apapun pressure cooker ni dah menjimatkan waktu memasak... kan!

Nak tengok pelbagai resepi dari blog ni... klik SINI

p/s : Aku guna pressure cooker jenama phillips... Apa jenis pressure cooker pun sama jer cuma mungkin tombol tekan tu je yg lain... kan!

Saturday, August 24, 2019

Saturday, August 24, 2019

Resepi Dodol Pressure Cooker : 5 Hingga 10 Minit Dah Siap ....!

Sesekali ada tengok di FB ada kawan-kawan muka buku tunjuk resepi dodol dan cara buat dodol dengan pressure cooker. Senang yang amat caranya. Dah ada resepi dodol ni... aku mula berkira-kira nak membuatnya Aku memang penggemar dodol. Lebih lebih lagi dodol durian tapi yang tak ada durian pun sedap juga. Di kampung biasa tengok orang buat dodol ni. Bukan calang-calang kerjanya. Kerja berat dan memerlukan tenaga yang ramai pula tu.

Resepi Dodol Pressure Cooker :  5  Hingga 10 Minit Dah Siap ....!
Resepi Dodol Pressure Cooker :  5  Hingga 10 Minit Dah Siap ....!
Biasanya dulu-dulu di kampung, bila hampir tarikh majlis perkahwinan akan di adakan gotong royong buat dodol. Dodol ni nanti akan di beri sebagai hadiah kepada saudara terdekat yang datang menolong di majlis tu. Ada juga di jadikan sebagai salah satu hantaran kepada pengantin. Waktu nak dekat hari raya pun ada buat dodol untuk hidangan raya.

Memang meletihkan proses buat dodol zaman dulu. Dari proses menjadikan tepung daripada beras pulut iaitu dengan cara menumbuk menggunakan lesung, mendapatkan santan dari pokok kelapa seterusnya membuang kulit, memarut dan memerah santan. Belum lagi proses mengacau dodol dalam kuali besar dengan sudip panjang yang macam pendayung sampan tu.




Masak pula di atas unggun kayu yang di letak tungku dari batu. Bepeluh-peluh mengacau dodol yang liat dan likat tu. Berjam-jam nak siap pula tu. Memanglah rasanya yang sedap tu berbaloi, tapi letih di buatnya tu yang samgat membebankan. Itu sebab harga dodol di jual mahal sangat. Ada juga pernah beli yang di jual masa pergi Melaka dulu. Sedap tapi sikit je... sekejap dah habis.

Zaman kini  sangatlah mudah. Bahan-bahan dah siap sedia. Guna tepung pulut dalam paket sahaja. Santan pula guna santan kotak. Senang sungguh kerja memasak sekarang ni. Guna pressure cooker dalam 5 ke 10 minit dah siap. Antara 5 minit tu letak dalam mod pressure. Waktu selebihnya buat dalam mod menggoreng/menumis. Kacau-kacau lebih kurang dah siap. Lepaslah kempunan nak makan dodol. Gittew...!

 Dodol Pressure Cooker :  Sedang di masak ....!
 Dodol Pressure Cooker :  Sedang di masak ....!
Ini dia resepi dodol yang aku dapat dari FB. Mudah, cepat siap dan rasanya pun sedap walau tak sesedap resepi dodol yang masak dalam kawah besar dan dengan menggunakan dapur kayu. Walau macam mana pun aku rindu kerak dodol dan bau dodol hangit kayu api zaman dulu-dulu. Buat dodol dalam pressure cooker mana nak cari dodol yang ada kerak. Hurm... !

Resepi Dodol Pressure Cooker 

Bahan-bahan:
1 cawan tepung pulut
1 cawan gula merah
1/2 cawan gula putih
1 cawan air 
1 cawan santan

Cara-caranya:

Campurkan semua bahan dalam mangkuk. Gaul sebati. Boleh juga di blender semua bahan dan tapis. Pasangkan pressure cooker. Masukkan bahan-bahan yang telah di tapis tu. Tutup periuk dan set periuk ke mod steam. Set timer kepada 5 minit. 
Selepas 5 minit buka tutup dan  set pressure cooker ke mod menumis atau menggoreng. Kacau adunan hingga likat dan pekat. Kira-kira dalam 5 minit atau lebih bergantung kesesuaian yang di hehendaki. 
Kalau nak simpan lama dodol ni, elok di masak lama sikit dan juga letak lebih gula putih. kalau nak makan masa tu dan di habiskan hari itu juga, dalam 10 minit tu dah okey dah adunan tu. Sedap, licin hingga menjilat jari tau... !

Nak lihat resepi yang ada dalam blog ni... klik SINI

p/s : Aku paling suka dodol yang dah keras dan boleh di potong-potong macam kuih. Tapi, tak dapat nak fikir macam mana boleh jadi macam tu.

#kredit blog huhahuhajerr.com

Thursday, August 22, 2019

Thursday, August 22, 2019

Gulai Lemak Ikan Lampam Bersama Belimbing Buluh Sajian Tengahari Raya Ke Empat Di Kampung Halamanku

Ini entri terlambat buat. Raya dah habis lama, raya haji pun dah lepas menjelang, baru terkial-kial nak tunjuk masakan ini. Waktu itu dah jemu dan muak menghadap lemang dan rendang, maka terjadilah hidangan gulai lemak ikan lampam bersama belimbing buluh ini. Cara buat sama je dengan masak lemak cili api tapi di Perak tak biasa panggil masak lemak. Jadi, kena lah sebut gulai lemak ikan lampam bersama belimbing buluh yer.

Gulai Lemak Ikan Lampam Bersama Belimbing Buluh
Gulai Lemak Ikan Lampam Bersama Belimbing Buluh 

Paling canggih kat kampung ni, hampir semua bahan ada di keliling rumah. Tak payah beli dan sangat segar serta menjimatkan. Rasanya cuma ikan dan bawang saja yang di beli. Kelapa di kampung di Perak ni di panggil nyor di kait di tepi rumah. Tapi tak adalah di kait masa nak masak tu. Memang dah sedia di kopek kulit. Tinggal lagi nak di buang sabutnya. Di ketuk biar terbelah dua dan di parut guna mesin.

Selebihnya buat macam biasa, iaitu perah santannya. Cili api atau di sini pangil cabai @ cabey burung ( bahasa Perak pekat) petik di tepi rumah. Ada beberapa pokok yang di tanam dek mak. Banyak pula buahnya. Belimbing pun petik je di belakang dapur. Buahnya dah tinggal sikit. Dah habis musim, penuh yang luruh dan busuk di bawah pokok. Serai dan kunyit pun ada di tanam di tepi dapur.






Itulah indahnya tinggal di kampung. Di bandar, semuanya kena dibeli. Dari sekecil-kecil ramuan masakan dan apatah lagi yang besar. Sekarang dah tak dapat harga kupang-kupang dah. Semuanya dah bernilai ringgit dah. Itulah nilai duit sekarang, makin kecil dan barang-barang masakan mahal belaka. Nak bercucuk tanam macam di kampung kena tunggu rancangan buat rumah menjadi nyata.... huhu!

Marilah kita lihat resepi gulai ikan lampam dari Negeri Perak yang indah permai. Resepi macam masak lemak cili api juga tapi di kurangkan kepedasannya. Al maklum, buat di Perak kenalah ikut cara sana.. Nanti orang Perak tak lalu nak makan pulak... Pedehhhh... hihi!

Gulai Lemak Ikan Lampam Bersama Belimbing Buluh Sajian Tengahari Raya Ke Empat Di Kampung Halamanku

Bahan-bahan:

1 ekor ikan lampam bersaiz besar
12 biji belimbing buluh
12 biji cili api (cabai burung)
1/2 inci kunyit hidup
2 biji bawang merah
1 batang serai
1 biji kelapa 
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

Ikan lampam di bersihkan dan di potong-potong. Belimbig buluh di belah dua. Cili api, kunyit hidup dan bawang merah di tumbuk lumat. Serai di titik saja. Kelapa di parut di campur air dan diambil santannya iaitu 2 cawan santan pekat dan 2 cawan santan cair. Agak-agak lah yer..!

Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk bersama santam cair. Didihkan dan masukkan belimbing buluh dan serai. Bila dah mendidih masukkan ikan lampam. Apabila ikan lampan dah nak masak, masukkan santan pekat. 

Selepas memdidih sekali lagi, bolehlah di angkat. pastikan jangan pecah minyak yer. Waktu memasak tu kena selalu kacau. tapi kacau perlahan-lahan je biar ikan tak pecah berkecai. Selepas tu bolehlah di hidangkan besama hidangan tengahari. Nak makan tu jaga-jaga yer... ikan lampam ni banyak tulang takut tercekik pulak.

Okeylah... itu saja cerita masak memasak di kampung waktu hari raya ari tu. Sedap jangan ceritalah, hingga menjilat jari. Lebih-lebih lagi makan di iringi suasana kampung yang nyaman dan di sisi emak ayah yang di kasihi.

Nak tengok berbagai masakan di blog ini lihat di SINI

p/s: Rindunya nak balik kampung lagi... haihh!

Tuesday, August 20, 2019

Tuesday, August 20, 2019

Resepi Laksa Berkuah Sardin Dalam Sos Tomato

Biasanya ramai orang buat laksa guna ikan segar yang beli di pasar. Kali ini di sebabkan en. suami kata ikan sekarang mahal dan tak berbaloi nak di beli. Jadi nak buat laksa, guna ikan sardin dalam sos tomato @ tin tu ajelah. Tak jauh beza resepi laksa biasa dengan resepi laksa berkuah sardin dalam sos tomato ini. Cuma cara buat laksa berkuah sardin ni dah jadi senang sikit. Iaitu tak payah nak siang ikan, cuci dan rebus. Juga tak perlu buang tulang dan kisar lagi. Senangkan... ?

Resepi Laksa Berkuah Sardin Dalam Sos Tomato
Rasa tak jauh berbeza, cuma perlu keluarkan sos yang ada sekali dalam tin tu. Maksudnya tak pakai sos tu untuk buat kuah laksa ni. Tak perlulah basuh ikan tu cuma keluarkannya saja. Lagi satu ikan sardin dalam sos tomato ni hanyir lebih sikit. Jadi lebihkan bubuh asam keping untuk mengurangkan rasa hanyir dan menyedapkan kuah laksa. Mari kita lihat cara-cara yang mudah membuat kuah laksa ini.... huhu!






Resepi Laksa Berkuah Sardin Dalam Sos Tomato


Bahan-bahan: 

2 paket laksa 
1 tin besar sardin
4 biji bawang merah 
12 biji cili api 
2 sudu besar cili giling 
Seketul belacan (sebesar ibu jari)
secekak daun kesum 
8 keping asam keping (ikut masam yang di kehendaki)
5 cawan air 
Garam dan gula secukup rasa 

Bahan iringan:
3 biji telur rebus 
3 biji cili api 
1 biji cili merah
3 biji limau kasturi 
Sedikit timun dan bawang besar

Cara-cara : 

Laksa di celur sebentar sekiranya menggunakan laksa yang lembut. Sekiranya menggunakan laksa kering, laksa perlu di rebus sehingga lembut. Barulah boleh di keluarkan dan di makan bersama kuah laksa. Untuk memudahkan dan cepat, belilah laksa biasa yang biasanya di jual di pasar basah. Di pasaraya pun ada di jual di kawasan barangan basah.

Ikan sardin diasingkan dari sosnya, di kisar bersama secawan air. Bawang merah cili api, cili giling, dan belacan di kisar bersama sehingga lumat. Masukkan bahan kisar kedalam periuk dan didihkan. Masukkan sekali air dan semua bahan-bahan untuk buat kuah. Perasakan dengan garam dan gula.

Apabila nak di hidangkan, masukkan laksa ke dalam pinggan. Sendukkan kuah secukupnya untuk menenggelamkan laksa. Di makan bersama separuh telur rebus, hirisan cili api dan cili merah, hirisan timun, hirisan bawang besar dan sehiris limau kasturi yang di perah jusnya ke atas laksa. Fuh.... sedap wa cakap lu!!! Kerja pun senang dan cepat, dah siap. 

Nak lihat resepi lagi dalam blog ni... boleh klik SINI

p/s: Anak-anak suka makan laksa.. tak toleh kiri kanan dah... :)

Saturday, August 17, 2019

Saturday, August 17, 2019

Resepi Bubur Caca Sedap Semudah 1, 2, 3, Membuatnya

Ini resepi bubur caca bulan puasa ritu. Aku rasa nama caca tu dapat dari warna- warninya yang cacamarba tu la yer... Bahan bubur caca tu cuma di buat dari tepung semata-mata. Ia di bancuh, di warnakan dan di gentel-gentel sebegitu rupa kecik2 macam cendol. Di paket dan di jual di pasaran Harga sepaket dalam RM2.50 saja banyak jual kat kedai runcit dan pasaraya.


Aku tak berapa suka bubur caca yang dah siap ni. Aku bila nak makan asyik terbayang di sentuh dan di gentel oleh macam-macam orang yang membuatnya. Mesti banyak DNA yang terdapat di dalam tu kalau buat ujian kat makmal. Melalut pulak aku kesitu... Kalau dah makanan tu, makan ajelah ... Buat apa fikir bukan-bukan. Nanti patah selera.. Disebabkan en suami suka sangat makan bubur ni, terpaksalah buat... aihh!


Sebenarnya bahan bubur caca tu boleh buat sendiri jer. Selalunya mak aku di kampung bila nak makan bubur caca ni, bancuh tepung, warnakan pelbagai warna, gentel dan gunting-gunting lepas tu terus masak hari tu juga. Lagi sedap dan terjamin kebersihannya. Aku pun biasanya buat macam ni. Tapi dah en. suami beli yang siap, terpaksalah pakai yang di beli tu je. Ada lagi lebihan sepaket baki bulan puasa ritu. Entah bila nak buat, tak taulah... Jomlah kita tengok resepi mudah ni.. !

Resepi Bubur Caca Sedap Semudah 1, 2, 3, Membuatnya

Bahan-bahan:

1 paket caca (1 cawan)
2 cawan santan ( 1 kotak kecil santan)
2 helai daun pandan (simpul)
2 cawan gula pasir ( nak kurangkan atau lebih ikut suka)
1 keping gula melaka (1/2 cawan gula merah)
Secubit garam
Air ikut sendiri nak banyak mana

Cara-cara:

Rebus caca bersama 2 atau 3 cawan air sehingga lembut. Selepas tu masukkan gula pasir dan gula melaka. Kalau tak ada gula melaka, boleh gantikan dengan gula merah. Selepas gula hancur, masuk santan. Kalau tak ada santan segar, boleh gunakan santan kotak (sekotak tu campur air jadikan 2 cawan). Sementara tu masukkan secubit garam untuk melemakkan lagi bubur. 

Selepas semua proses, biarkan bubur mendidih dan masak sekata. Masa ni, kalau nak banyak kuah ikutlah selera sendiri tapi pastikan sesuai dengan kemanisannya yer... Bila dah masak boleh di hidangkan sebagai pencuci mulut atau juadah minum petang. Boleh makan begitu rata atau di cicah dengan roti. Cara makan kegemaran en. suami la tu. 

Aku suka kalau makan bubur, tak kiralah bubur apa, simpan sejuk dalam peti ais dulu. Nak rasa kesejukannya hingga ke tekak. Lain orang lain caranya. Apapun inilah cara aku. Bubur ni kalau tak habis di makan, boleh juga simpan di peti ais dan ulang makan beberapa hari. Sedaplah jugak.. hehe!

Nak tengok resepi lagi? .... klik SINI

p/s: Aku sebenarnya paling suka bubur kacang hijau apatah lagi kalau di campur durian.. Tapi durian mahal yarabbi... huhu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...