Breaking

Wednesday, September 25, 2019

Wednesday, September 25, 2019

Resepi Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap, Walaupun Sakit Tekak Dan Batuk...

Di musim berjerebu ini, sakit tekak dan batuk senang menjangkiti orang ramai. Kelmarin aku mula terasa sakit tekak dan batuk. Alahai, sakitnya tekak untuk menelan dan batuk yang gatal sungguh di tekak apabila di tahan. Akibat dari batuk tu, aku kehilangan selera makan. Jadi, beberapa hari makan bubur nasi saja. Ada satu hari aku tergerak hati buat bubur nasi yang special sikit iaitu bubur nasi campur ayam dan jagung. Sedap tau bubur nasi campur ayam dan jagung ni. Berebut anak-anak menyibuk nak makan... haihh!

Resepi Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap, Walaupun Sakit Tekak Dan Batuk...
Resepi Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap, Walaupun Sakit Tekak Dan Batuk...

Aku nak kongsi sikit kisah aku buat bubur nasi yang lebih special dari biasa ni. Nak buat dengan cepat, sudah semestinya aku guna pressure cooker philips yang ada ni. Jadi memasaknya akan lebih mudah dan santai saja. Bubur ni aku letak santan sikit bagi rasa lebih lemak dan sudah tentunya menyelerakan. Tapi untuk yang sihat bolehlah yang sakit tak rasa apa-apa... hurm!

Kebetulan santan tu aku dapat dari setengah cawan kelapa parut beku dalam peti sejuk. Lebihan kelapa parut sewaktu memasak tu aku simpan untuk pelbagai kegunaan. Letak dalam blender, campur dengan secawan air panas. Tunggu sejuk sikit dan blender halus. Lepas tu tapis kelapa tu dan ambil air santannya saja.




Tambah setongkol jagung yang kebetulan ada terperuk dalam peti sejuk lebihan buat jagung rebus minggu sebelummya. Ada isi ayam dalam peti ais, aku potong dadu kecil-kecil. Letak bawang merah, bawang putih dan halia. Campur sekali serbuk lada hitam. Perasakan dengan garam dah siap. Di bawah ni aku letak juga lah resepi penuh.. yer!

Resepi Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap, Walaupun Sakit Tekak Dan Batuk...


Bahan-bahan: 

2 cawan beras
12 cawan air 
1 cawan santan
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1/2 cawan isi ayam
Setongkol jagung
Garam secukup rasa
Bawang goreng untuk hiasan

Cara-cara:

Bawang merah, bawang putih dan halia di mayang halus. Isi ayam di potong dadu. Beras dibersihkan dan di toskan. Jagung di hiris dari tongkolnya dan dibersihkan. Masukkan beras, jagung, air, bawang merah, bawang putih halia dan ayam ke dalam periuk.

Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap Masak Dalam Prressure Cooker
Bubur Nasi Campur Ayam Dan Jagung Sedap Masak Dalam Prressure Cooker

Renihkan sehingga menjadi bubur yang lembut. Jika menggunakan pressure cooker, gunakan fungsi tekanan selama 30 minit. Selepas selesai, masukkan santan dan serbuk lada hitam. Gunakan fungsi stir fry untuk yang menggunakan pressure cooker. Perasakan dengan garam. 

Gaul rata dan renihkan sebentar. Dah siap, bolehlah di hidangkan bersama bawang goreng yang di taburkan di atasnya. Anak-anak kata sedap. Aku je masa tu terkulat-kulat nak makan sebab tak ada selera. Satu periuk tu ingatkan tak habis. Sekali, habis daaa...!

Nak pelbagai resepi dari blog ni.. klik SINI

p/s: Anak-anak suruh buat lagi.. tapi tak ada la jagung lagi... nanti lah yer!

Tuesday, September 17, 2019

Tuesday, September 17, 2019

Resepi Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!

Beberapa hari sebelum Aidiladha, aku buat kuih bingka ni. Teringin nak makan punya pasal. Maka inilah kejadiannya bila buat menggunakan pressure cooker ini. Sama je dengan buat cara biasa dalam oven tu. Resepi kuih bingka ni aku ambil dari resepi biasa dan aku buat versi pressure cooker. Menjadi dan dapatlah aku melepaskan rasa kempunan nak makan bingka sedap .... hehehe!

Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!
Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!

Mak kat kampung biasa buat menggunakan acuan yang ada bulat di tengah tu dan letak terus atas api dapur gas yang paling kecil. Tapi aku pun tak tahu kat mana nak dapatkan acuan macam tu. Biasanya aku buat kuih bingka dalam oven saja. Inilah pertama kali aku buat guna periuk tekanan @ pressure cooker ni. 






Aku malas nak keluarkan oven pun sebenarnya. Dah lama oven terperuk kat ceruk bilik. Lagi pun, periuk tekanan atau pressure cooker kan tengah hot dan viral sekarang ini. Akhirnya menjadilah kuih bingka dengan segala kejadiannya. Aku buat manis-manis buah saja. Itu sebab elok buat sendiri. Boleh tentukan kemanisan yang di kehendaki.

Resepi Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!


Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan (1 kotak kecil santan campur air)
3/4 cawan gula
3 biji telur
1 cawan air pandan 
2 sudu besar mentega/marjerin
1/2 sudu teh garam
Bijan untuk tabur

Cara :

Campurkan kesemua bahan dan blend kesemuanya kecuali bijan. Tapiskan adunan untuk mengelakkan adunan berketul-ketul. Lengser kawasan dalaman pressure cooker dengan minyak dan tuang adunan yang telah di tapis. Tabur bijan di atas adunan. 

Setkan pressure cooker dan letakkan ke fungsi membakar atau bake. Ada pressure cooker letak fungsi manual atau steam. Mana-mana pun boleh. Setkan waktu membakar selama dalam 30 - 35 minit. Kalau bahagian bawah tak cukup garing, ulangi prosess membakar 5 -10 minit lagi. Dah siap, sejukkan dulu baru dipotong. 

** Aku buat ni tak letak air pandan hanya pewarna hijau campur esen pandan. Jadi air esen pandan secawan dan setitik dua pewarna hijau je lah jadinya... hihi!

Apapun, siap jugalah juadah bingka pandan pada hari tu untuk di buat juadah minum petang. Orang kampung aku panggil kuih bingka tu kuih bengkang. Entah macammana lah dapat nama tu. Aku pun tak faham. Uhhh... nasib baik kuihnya sedap. 

Nak lihat resepi yang ada di blog ni.. klik SINI

p/s: Lepas ni bolehlah buat kuih bingka pressure cooker pelbagai versi lagi macam bingka jagung, bingka susu, bingka ubi, bingka labu dan macam-macam lagi... ya tak?

Wednesday, September 11, 2019

Wednesday, September 11, 2019

Resepi Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...

Pada hari raya Aidiladha ritu... sehari sebelum raya aku dah siap masak nasi impit, kuah kacang dan rendang daging campur hati dan paru. Itulah hidangan raya kami sekeluarga. Buat banyak juga... rasanya lebih dari kebiasaan. Tapi, menjelang tengahari dah hampir selesai juadah semua tu. Jadi, tengahari raya tu sebelum jumaat, en suami bawa daging korban dari surau. Selain daging korban ada juga satu plastik tulang.

Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...
Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 

Apa lagi setelah berfikir sekejap, aku nak buat sup ajelah. kalau nak buat rendang mana nak cari kelapa atau santan segar. Apatah lagi bahan-bahan yang lain. Bahan dan rempah-rempah buat sup semuanya dah ada tersedia. Yang tak ada cuma daun sup ajelah. Tak apa lah.... Janji menjadi dan boleh di makan.






Buat sup ni bukannya susah... main campak-campak je bahan. Kalau masak secara biasa nak merebus tu makan masa 3 - 4 jam juga untuk melembutkan daging dan menanggalkan isi daging dari tulangnya. Tapi, PC philips tu kan ada. Gunakan ajelah... Tak payah susah, renyah, cepat dan pantas sahaja memasak sup tulang ni 30 minit dah tersedia. Mana-mana PC pun boleh guna juga sama je fungsinya. Jomlah aku letak resepi kat bawah ni...

Resepi Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 


Bahan-bahan:

5 ketul tulang daging korban
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3 biji kentang 
1 paket sup bunjut
2 sudu besar rempah sup
I batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup dan bawang goreng (jika ada)

Cara-cara: 

Tulang daging di bersihkan. Kentang di buang kulit dan di belah empat atau enam. Bawang merah, bawang putih dan halia di hiris halus. Boleh juga di tumbuk tapi kali ni hiris je. Tumiskan bahan hiris bersama kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga bahan hiris kekuningan. 

Selepas tu masukkan rempah sup bersama sedikit air. Kacau sehingga hampir garing. Selepas tu masukkan tulang daging. Kacau sebati. Masukkan pula air secukupnya. Ikut kehendak sendiri nak banyak mana air tu tapi pastikan air meliputi seluruh tulang daging tu.

Masak Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...
Masak Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 

Selepas tu, bolehlah di tutup dan gunakan fungsi pressure untuk daging selama 30 minit. Oh yer, tadi waktu menumis gunakan fungsi stir fry. Selepas 30 minit, buka penutup baru masukkan kentang dan perisakan dengan garam dan gula secukup rasa. Gunakan fungsi pressure kembali selama 3 minit untuk melembutkan kentang. 

Selepas tu, boleh lah di hidangkan sup tulang untuk di nikmati. Jika ada daun sup dan bawang goreng bolehlah di tabur atas. Kalau tak ada, makan ajelah... hihi! Prosess memask dalam masa 30 - 40 minit dah siap apabila menggunakan pressure cooker. Daging pun lembut sangat untuk di kunyah. Kalau cara biasa makan masa 3 - 4 jam untuk siap.

Berselera sungguh kami sekeluarga makan tengahari tu berlaukkan sup daging korban. Menjelang malam sup pun dah licin seperiuk. Memang sedap sup daging korban yang betul-betul segar baru di sembelih. Terasa sangat kesegaran dan kemanisannya. Nak rasa macam ni lagi , tunggu raya tahun depan pula lah.... 

Oh yer... kalau nak tengok resepi lagi di blog ni.... klik SINI

p/s : Kenangan masakan sup yang sedap menjilat jari gittew!... :)

Friday, September 6, 2019

Friday, September 06, 2019

Resepi Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam

Pada penggemar ulam-ulaman daun selom memang tidak asing lagi bukan saja di kalangan orang melayu, malah kini orang Cina, India dan kaum yang lain turut menggemarinya. Daun selom atau nama botaninya Oenanthe javanica ini boleh dijumpai hampir seluruh kawasan Asia, terutamanya India, Pakistan, Jepun, Taiwan dan China. Ianya tumbuh liar dikawasan bertanah lembap seperti paya dan tepi sungai.

Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam
Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam

Daun dan batangnya berwarna hijau dan bunganya bersaiz kecil dan berbunga kecil. Rasanya yang lemak-lemak dan sedikit pedas memang menambat hati pengemarnya. Sedap di buat kerabu atau ada yang panggil urap. Boleh juga di cicah sambal belacan, budu dan cencalok. Tak kisahlah bagaimana cara daun selom ini di makan tapi yang sebenarnya daun selom ini juga mempunyai khasiat dan manafaat kepada kesihatan kita. Antara khasiatnya adalah :

- Mengandungi banyak air iaitu 91.6 % air, 1.1 % protein, 0.4 % lemak, 4.4 % karbohidrat, 1.0 % serabut dan 1.5 % abu. 

- Meredakan penyakit seperti bisul, terkena gigitan kuda, ular, kala jengking, dan bengkak kerana kanser. Caranya: dengan melumatkan daun dan batang kemudian sapu pada bahagian yang sakit atau terkena gigitan. 

- Rebus daun selom dan airnya diminum sebagai penawar demam selesema, batuk, susah buang air kecil dan buang air bercampur darah. 






Kelmarin  ada kawan buat kerabu daun selom ni. Dia tunjuk gambar dan siap bagi resepi cara-cara buat kerabu ni di group whatssap. Sebelum gambar dan resepi hilang di telan angin lalu dari handphone, aku nak abadikan gambar dan resepi tu di blog ini. Nanti nak pergi pasar beli daun selom buat kerabu tapi hujung minggu baru dapat pergi. Minta en suami belikan... katanya tak kenal yang mana satu daun selom. hurm!

Resepi Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam


Bahan-bahan:

Daun selom
Udang kering
Cili api
Cili Merah
Bawang besar
Kerisik/kelapa parut
Limau kasturi

Cara-cara:

Daun selom di racik kasar. Udang kering, cili api, cili merah di tumbuk halus, Bawang besar di hiris nipis. Gaul bahan tumbuk, bawang besar hiris bersama daun selom dan kerisik/ kelapa parut. Perah limau kasturi dan perasakan dengan garam dan gula. Siap dan boleh di hidangkan.

Semua bahan-bahan ikut banyak yang di pelukan. Tiada specifik banyak mana yang di perlukan. Ikut sesedap rasa sendiri. Nak banyak, nak pedas atau kurang pedas atau nak lebih masam, masin dan manis pun ikut pilihan sendiri.

Dan lagi kalau nak letak belacan pun boleh. Kalau nak letak kerisik pun boleh, kelapa parut pun boleh atau kelapa sangai pun boleh ikut citarasa sendiri juga. Menurut kata kawan yang bagi resepi dan gambar ni semalam, kerisik masih beku jadi dia letak kelapa parut sebab nak cepat makan.

Pokok selom ini senang di biakkan. Ia boleh ditanam di dalam bekas, di atas batas atau pun secara hydroponik. Pokok selom memerlukan tanah yang mempunyai bahan organik dan kelembapan yang tinggi untuk hidup subur. Ia boleh dituai selepas dua bulan ditanam dan tahan tumbuh bertahun-tahun lamanya.

Nak lihat berbagai resepi dari blog ini... klik SINI  Oh yer lupa plak kenalah kredit kat empunya gambar ni kan! Terimakasih ipah bagi izin gambar dan resepi tayang di blog ni.

p/s : Nanti mesti nak tanam pokok selom, senang nak buat ulam dan kerabu. Hai rumah, bilalah nak siap!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...