Breaking

Tuesday, December 27, 2016

Tuesday, December 27, 2016

Apam Nasi Gebu

Dah lama tak buat n3 kat blog nih. Sekarang ni masak yang biasa-biasa sangat. Tak ada kerajinan nak memasak masakan yang best. Kalau ada pun, semuanya dah letak dalam blog ni. Kerajinan pula tengah merudum dek laptop yang lambat loading. Inilah jadinya.....

Gambar masakan yang di masak terperap di henpon je.  Ari ni letak gambar kuih apam nasi yang dah berkali2 letak di sini. Kuih yang sangat sedap ditekak aku dan tak jemu aku makan. Buatnya pun mudah la jugak. Cuma renyah sikit.

Kita letak resepi kat sini untuk mana yang belum tahu....  N3 resepi kuih ni antara yang paling popular di blog ni.  Huiyyo, ramai betul yang mencari resepi dan suka kuih ni....And then aku kongsi gambar kuih ni yang aku buat beberapa hari lepas.... Merah menyala pinknya... gittewww... hihi!


Bahan2 :

3 cawan tepung beras
1cawan tepung gandum
2 cawan gula pasir
1 paket mauripan @ ibu roti
2 cawan nasi
3 cawan air
Cara-cara :

Masukkan semua bahan kedalam mangkuk besar kecuali nasi dan air. Gaul bahan tersebut dan ketepikan sementara waktu. Kisar nasi dengan air sehingga betul2 hancur.

Campurkan nasi yg telah dikisar dengan bahan yang telah digaul tadi dan sebatikan adunan. Biarkan adunan mesra selama 1 jam. Adunan akan mengembang selepas itu. 

Selepas 1 jam, isikan adunan ke dalam acuan dan kukus dalam pengukus yang telah dipanaskan terlebih dahulu dalam 10-15 minit. Sebelum tu jangan lupa sapukan acuan dengan sedikit minyak sebelum memasukkan adunan agar kuih mudah ditanggalkan dari acuan nanti


p/s : Boleh di makan begitu saja tapi makan dengan kelapa parut yang telah digaul sedikit garam., lagi sedap... :)

Sunday, December 4, 2016

Sunday, December 04, 2016

Pajeri Nenas Power

Dah lama tak update blog ni. Bukannya tak masak. Dah nak penuh gambar masakan kat folder tapi kemalasan melanda melampau-lampau nampaknya. Masakan pun yang biasa-biasa sangat. Tak ada masakan baru dan resepi terkini. Tapi tak apalah. Resepi biasa-biasa tu kan trademark aku... hihi!

Hari ni update pajeri nenas. Anak-anak kata pajeri nenas aku tak sama dengan yang diorang makan di kedai. Pajeri aku lagi sedap kata anak-anak. Aku pun rasa semacam dengan gulai pajeri yang biasa jual kat kedai... pajeri nenas diorang tu ada perisa satu jenis rempah yang kuat tapi tak tau rempah apa.

Resepi ni seperti yang di masak oleh mak aku di kampung. Kiranya resepi turun temurun. Hampir tiap minggu aku mesti buat masakan ni. Kegemaran sekeluarga tu... peberet sangattt! Sedap wehhh!

Pajeri Nenas Power

Bahan-bahan :

1 biji nenas
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci halia
2 sudu makan ikan bilis atau udang kering
1 paket kecil serbuk kari kari ikan
1 paket kecil kerisik
1 sudu makan cili giling
2 cawan santan
1/2 cawan air
Rempah ratus 4 sekawan ( kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang)
Minyak masak secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

Cara2 :

Nenas di buang kulit, di bersihkan dan dipotong-potong . Bawang merah, bawang putih, halia ditumbuk lumat. Tumbuk juga ikan bilis/udang kering separuh lumat. Tumiskan rempah ratus bersama bahan tumbuk. Bila dah wangi, masukkan cili giling. 

Masukkan pula serbuk kari dan air. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan kerisik dan santan. Bila dah dah mendidih masukkan nenas. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Bila dah agak nak kering kuahnya, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Pajeri Nenas Power

p/s :  Bila masak lauk ni kena masak nasi lebih, lauk iringan ikan masin goreng garing.... power!

Tuesday, November 15, 2016

Tuesday, November 15, 2016

Masak Lemak Udang Campur Tempoyak

Aritu teringin nak makan udang.... walau sebenarnya aku alergik dengan udang. Tapi disebabkan mengidam sangat2 punya pasal, tahankan juga... and then dah siap2 bersedia dengan ubat bagai. Itulah pasal, dah lama pantang makan. Keinginan menggebu2 mengatasi segalanya.

Jadi aku  buat udang masak lemak campur tempoyak. Barulah mengancam dan menyerlah kesedapannya. Jarang benar aku masak lauk ni. Versi macam ni pun aku tak biasa masak lagi. Tapi bila dah makan.. sedapnya hingga menjilat sampai ke siku.

Tapi biasalah... walau en suami suka masak lemak.. dia tak makan tempoyak. Jadi aku masak sambal udang untuk dia.  Hurmmm... anak2 suka je dengan lauk ni. Amat berselera dorang makan. Berdahulu kendian dorang menambah nasi mengisi perut... hihi!


Bahan2 : 

Sekilo udang sederhana besar
15 biji cili api
1 inci kunyit hidup
2 biji bawang merah
1 batang serai
2 cawan santan pekat
3 sudu besar tempoyak
1 biji tomato
1 cawan air
Sedikit daun kunyit
Garam dan gula secukup rasa

Cara2 :

Udang dibuang kepala dan dibersihkan. Cili api, kunyit hidup dan bawang merah di tumbuk lumat. Serai diketuk. Tomato di belah enam. Daun kunyit di siat2. Sediakan sebuah periuk. Masukkan udang, bahan tumbuk, serai dan daun kunyit kedalam periuk.

Masukkan juga 1 cawan santan pekat, 3 sudu besar tempoyak dan secawan air. Didihkan periuk bersama bahan2 tu. Bila dah betul2 mendidih masukkan secawan santan pekat lagi. Jika nak banyak kuah atau agak kelihatan pekat, boleh tambah air lagi. 

Masukkan tempoyak. Kacau sentiasa dan tunggu hingga mendidih sekali lagi. Masukkan tomato, sambil tu, perasa dengan garam dan gula. ikut kesesuaian lidah sendiri. Dah pastikan masak, bolehlah dihidangkan. Walla..... sedappp!


p/s :  Tak sempat nak ambil gambar elok sikit sebab masa tu ada pulak bertandang sekejap ke rumah. Nak sambung ambil gambar dah malas... pun separuh dah kena ngapp!


Friday, November 11, 2016

Friday, November 11, 2016

Nasi Goreng Sambal Tumis Dengan Kacang Panjang

Juadah nasi goreng ni aku buat hari minggu yang lalu. Menyediakan masakan untuk keluarga ni kena kreatif dengan bahan2 yang ada dan tersedia di dapur. Pagi2 minggu terasa nak berehat dan duduk2 bersantai dan berbual dengan anak2 je. So, buat hidangan yang ringkas2  makan pagi dan tengahari lepas tu bolehlah mengadap tv dan bergurau senda bersama anak2.

Anak2 semua ada dirumah. Jadi tak nak berlama2 di dapur. Dah petang sikit baru masuk dapur untuk makan makan malam pulak. Dah selalu sangat update masak nasi goreng ini kat blog. Dah puluh2 resepi nasi goreng dah kot. Asas masak nasi goreng ni sama jer. Cuma olahan bahan2 iringan yant lain2. Dan rencah2 nasi goreng tu kena sepadan dengan jumlah nasi. 

Ini resepi ringkas je... gabungan sambal tumis dengan nasi gitu. Lihat je lah resepi mudah yang dah terbiasa ni... hihi!


Bahan2 :

4 cawan nasi
5 batang kacang panjang
Segenggam ikan bilis
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
2 sudu besar cili giling
1/2 cawan air asam jawa @1 sudu makan pes asam jawa +1/2 cawan air
2 biji telur
Garam dan gula secukup rasa
Kicap secukup rasa
Minyak masak secukupnya

Cara :

Ikan bilis digoreng garing dan ketepikan. Kacang panjang di potong2. Bawang merah dan bawang putih di cincang halus. Bawang besar di hiris. Tumis bawang2 yang dicincang. Dah naik bau dan kekuningan, masukkan cili giling.

Dah agak garing cili giling tu, masukkan air asam jawa dan bawang besar. Taruh sedikit garam dan gula. Kacau lagi sehingga pecah minyak dan hampir kering masukkan kacang panjang. Bila kacang panjang dah mula lembut, masukkan telur.

Kacau lagi biar telur merata dan tidak berketul. Masukkan nasi, kacau cepat2 dan pecah2kan ketulan nasi di dalam kuali. Percik2kan kicap kedalam nasi goreng ikut kesesuaian warna dan rasa sendiri. Perasakan dengan garam dan gula ikut selera sendiri. 

Akhir tabur ikan bilis goreng. Kacau2 rata. Bila semua bahan dah sebati dan merata bolehlah diangkat dan dihidangkan. 


p/s : Sesuailah untuk selera kami sekeluarga..... nyum nyum!


Saturday, November 5, 2016

Saturday, November 05, 2016

Kuih Nona Manis

Terajin la pulak....  Ini kuih yang aku buat 2 hari lepas. Buat pun sebab di minta dek anak. Ada sekali tu dia bercerita ada kuih yang sedap jual kat sekolah. Lusanya siap bawa balik tunjuk kat aku... Nak suruh aku buatkan le tu..... Boleh makan puas2. Beli 50 sen sebiii.... uihhh!

Itulah yang aku merajinkan diri membuatnya. Memanglah sedap. Penuh dengan rasa manis dan berlemak. Saling tak tumpah sama dengan kuih tepung talam. Cuma dibuat dalam acuan kecil. Lagi bagus, tak perlu dipotong2. Tapi memang renyah membuatnya. Memerlukan tahap kerajinan yang tinggi jugak la...

Dah siap.. sekejap jer dah dihabiskan. Suka anak2 dan en. somi makan. Aku rasa seketul  dua ketul jer. Tak tergamak nak makan banyak2... hmmm! Resepi google jer.... dari blog azlitamasammanis.com


Bahan A

1 biji telur
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan santan ~ campur air  jadikan 1 cawan
1 cawan tepung gandum

Pukul telur hingga kembang. Masukkan telur dalam blender sahaja dan putar. Dalam bekas lain, satukan gula, tepung gandum dan santan, kacau rata. Tuangkan atau campurkan dengan telur dan pukul atau kacau rata. Bila dah siap ketepikan

Bahan B

1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air pandan ~ ambil 5 helai daun pandan dan kisar bersama 1/2 cawan air. Kemudian tapis
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
secubit garam
sedikit pewarna hijau apple
sedikit emalco pandan (optional)

Ambil 5 helai daun pandan yang sederhana besar dan kisar dalam blender bersama 1/2 cawan air. Kemudian tapis. Satukan air pandan dan santan. Kemudan campurkan dengan gula, tepung jagung, secubit garam, emulco pandan ( optional ) dan sedikit pewarna hijau apple jika warna hijau pandan kurang menyerlah. Kacau sampai rata dan tidak berbintil-bintil. Kemudian masak dengan api sederhana hingga ia meletup-letup, kilat dan sedikit pekat

* Satukan Adunan bahan A dan juga adunan bahan B Kacau rata sehingga ia menjadi adunan yang pekat dan licin.Ketepikan dahulu sementara kita sediakan adunan putih.

Bahan C

1/2 cawan santan pekat  campur sedikit air untuk dapatkan 1 cawan
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

Satukan semua bahan C, kemuadian masak atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga ia pekat. Tunggu dia suam sikit dan masukkan dalam piping bag atau bag plastik ( bahagian hujung bag plastik )

Sementara itu kita panaskan dahulu kukusan hingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih. Sediakan acuan lompang yang kecil, oleskan acuan lompang dengan minyak jagung. Tuangkan adunan hijau dalam acuan lompang hingga 3/4 cawan acuan lompang 

Kemudian paipkan adunan putih di tengah-tengah adunan hijau hingga adunan naik penuh cawan lompang Susun dalam kukusan. Kukus selama 7 ~ 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan. Sedia di hidangkan untuk minum petang.


p/s : Guna santan kotak jer. Daun pandan pun tak ada. Bubuh sikit esen pandan. Boleh la, cantik juga kejadiannnya...


Wednesday, October 26, 2016

Wednesday, October 26, 2016

Masak Lemak Telur Itik Bersama Pucuk Ubi Dan Belimbing Buluh

Juadah masakan beberapa hari lepas. Selera hubby la tu. Masak lemak cili api ni hari2 pun dia tak jemu. Setiap kali macam2 sayur dan lauk kampung nak di masak sekaligus. Kalau boleh semua benda tu nak dimasukkan sekali harung. Nasib baik bila dicampur2 tu menjadi dan sedappp...

Kali ni pucuk ubi dan belimbing buluh di gandingkan dengan telur itik. Rasanya.... perghhhh! Cili api aku bubuh dalam 25 biji. Tak pulak rasa pedas berlebihan. Rasa pedasnya sedang elok je kat tekak kami anak beranak. Rasanya boleh kot lain kali letak 30 biji pulak... hihi!

Kat blog ni ... inilah resepi yang paling sinonim. Dah tu, inilah juadah masakan yang hari2 mau jer kat tekak seluruh keluarga.. especially hubby. Apa nak buat orang nismilan... masak lemak cili api tak dapat dipisahkan..... :)


Bahan2 :
5 biji telur itik - di bersihkan dari kotoran
Secekak pucuk ubi - ambil pucuk dan daun muda sahaja
15 biji belimbing buluh - belah dua
25  biji cili api - tumbuk
1cm isi kunyit - tumbuk
2 biji bawang merah - tumbuk
1 keping asam keping
2 cawan santan pekat.
secawan air
garam dan gula secukup rasa.

Cara2 :

Pucuk ubi direbus sebentar. Buang airnya. Masukkan pucuk ubi yang telah direbus dan belimbing buluh yang telah dibersihkan   ke dalam periuk bersama bahan tumbuk. Masukkan secawan santan pekat dan secawan air. Bila dah mendidih, pecahkan telur itik perlahan2 ke dalam periuk. 

Kacau bahagian atas gulai perlahan2 agar tidak terkena pecahan telur. Masukkan secawan lagi santan pekat. Masukkan juga asam keping. Kalau nak lebih kuah boleh tambahkan air lagi.. Kacau dan perasakan dengan garam dan gula. 

Jangan biarkan santan pecah minyak. Kacau sentiasa. Bila telah mendidih sekali lagi bolehlah diangkat.


p/s : Biar lebih pedas... lebih ummpph.... Tapi yang tak nak pedas kurangkan jer la... hihi!


Sunday, October 16, 2016

Sunday, October 16, 2016

Rendang Ayam Pencen Pedas Special

Rendang ni masak hujung minggu lepas tapi nak mengupdate masakan ni kat blog bercinta sangat... malas yang amat sangat rasanya. Bukannya sibuk setahap mana pun.... Suri rumah macam aku ni sibuk tu tetap ada, tinggal dengan malas dan rajin jer...!

Rendang ayam ni aku masak rendang stail rembau. Pedas memang menyengat la. Aku guna ayam pencen sebab ayam ni paling sesuai untuk masak rendang ni. Rendang Rembau ni memerlukan masa yang lama untuk merenih agar kepedasan cili yang banyak tu menerbitkan aroma kelazatan yang menyaingi kepedasan cii tu. So, dah tak terasa pedas lagi.... 

Ayam pencen ni keras dia punya isi dan tulang2nya. Tak mudah hancur bila dikacau berterusan dengan jangkamasa yang lama. Untuk seekor ayam ni ambil masa lebih kurang 3 jam untuk merenih dan mengacaunya sehingga kering.

Jenuh jugak la proses memasaknya dan memang penat sikit la.... Tapi melihat suami dengan anak berselera makan dan siap puji dan bagi kredit 5 bintang, terasa bahagianya. Hmmm... aku dah pass masak lauk nismilan dah... hihi!


Bahan :
1 ekor ayam pencen
4 cawan santan pekat
1 helai kunyit (di koyak)
1 helai daun kunyit (di hiris halus)
4 btg serai (di titik)
1/2 bungkus serbuk kari daging - lagi bagus kalau guna rempah asli yg beli kt kedai di pekan rembau
1 btg kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 keping asam keping - rendang asal rembau x letak so kalau x letak pun boleh
1 sudu teh gula - jika suka
garam secukup rasa
semangkuk air
(Boleh ditambah ikut keperluan)

Bahan Kisar:
8 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
3 btg serai
3 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 inci lengkuas
20 tangkai cili kering & 3 sudu besar ciling giling
20 biji cili api
1 sudu teh jintan manis & jintan putih dan biji ketumbar

Cara Membuat:
Ayam di potong kecil2. Masukkan ayam, bahan kisar, serbuk kari, serai titik, daun kunyit, kulit kayu manis, bunga lawang dan semangkuk air. Kacau sampai hampir kering.

Selepas tu masukkan santan dan asam keping serta garam dan gula.Masak hingga ayam lembut dan kuahnya kering.

Jika daging ayam belum lembut masukkan secawan air lagi dan kacau sampai kering. Sedia di hidangkan ..... Makan dengan nasi putih, pulut atau lemang...... sedap!


p/s : Tahap kepedasan ikut selera sendiri yer. Resepi ni memang power kepedasannya. So, siapa tak nak pedas adjust sendiri....!


Sunday, October 9, 2016

Sunday, October 09, 2016

Sawi Dan Cendawan Stail Masakan China

Hari ni nak update cerita tentang masakan sayur yang sangat simple. Resepi ni aku dapat dari buku masakan china. Anak2 dan hubby suka sangat bila aku masak sawi stail macam ni. Semangkuk besar boleh habis sekali makan tengahari. Bila aku masak goreng sayur stail biasa.... kurang diorang nak layan. 

Resepi sayur ni pada asalnya sebenarnya sangat complicated. Sayur sawi ni perlu dicelur dalam air yang dah di letak sedikit minyak masak. Cendawan pun sama. Lepas tu disusun cantik di dalam pinggan. Kuahnya perlu dibuat dengan air rebusan daging. Ada di letak sedikit minyak bijan juga tapi tak letak pun takde hal punya.

Di ubah dan di olah ikut cara sendiri. Sayur sawi tu dalam resepi, digunakan sawi yang kecik saja dan cendawan pula cendawan yang macam straw tu. Tapi aku guna sawi yang biasa dan cendawan guna cendawan tiram biasa. Aku dah pernah cuba sayur kobis panjang... juga cendawan kering yang hitam tu. Boleh saja... tak lari kesedapannya.

Air rebusan daging tu aku ganti dengan sedikit kiub ayam. Dan aku masak terus sekali harung dalam periuk. Lepas tu tuang dalam mangkuk. Terus hidang. Takdenya nak susun2 bagai. Pernah buat susun2 dulu. Tapi dah malas dah. Lainkali nanti kalau jemput saudara mara datang makan ke rumah buat masakan ni, bolehlah hidang sayur ni dan susun cecantik.

Resepi?..... jommmmm!


Bahan2 :

3-4 pokok sawi
5-6 tangkai cendawan
2-3 hiris halia
1 sudu besar sos tiram
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/6 dari seketul kiub ayam
1 sudu teh minyak bijan - kalau takde tak apa
1/4 cawan air
Minyak masak secukupnya.
Garam dan gula secukup rasa.
Bahan pemekat - 2 sudu besar air campur 1sudu besar tepung jagung

Cara : 
Sawi di patah2kan ikut suka. Cendawan di siat2 sahaja. Halia dihiris memanjang. Tumis halia sehingga hampir kekuningan. Masukkan lada hitam, sos tiram, kiub ayam, minyak bijan dan air. Kalau nak lebih kuah, boleh tambah air lagi. 

Masukkan sawi dan cendawan. Masukkan juga bahan pemekat. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sayur dah cukup masak bolehlah di angkat dan dihidangkan. 


p/s : Suka hati kita la nak  buat cara apa pun... janji sedap kat tekak kita sendiri.... kan!


Thursday, October 6, 2016

Thursday, October 06, 2016

Masak Lemak Cili Api Ayam Campur Rebung Dan Petai

Dah bersawang bagai blog nih... Entah kenapa, semenjak dua menjak ni aku ditimpa kemalasan sangat nak mengambil gambar masakan aku. Bukan tak masak, tak buat kuih, tak buat kek tapi entah kenapa takde keinginan langsung nak ambil gambar... haiyyyyaaaa!

Ada tidak... terlepas jugak masakan peberet my hubby ni terambil gambar. Masakan ni juga peberet aku dan anak jugalah. Bila buat masakan ni, nasi kena masak lebih dari biasa. Makan malam, nasi kena masak lebih juga.... huhu!

Resepi biasa saja.... cuma bahan utama je ditukar ganti.! Takpe kita tepek resepi power ni....


Bahan2 :


6 - 7 ketul daging ayam - yang sudah di potong  
Semangkuk  rebung
3 papan petai - ambil isi
15  biji cili api - tumbuk
1cm isi kunyit - tumbuk
2 biji bawang merah - tumbuk
1 keping asam keping
2 cawan santan pekat.
secawan air
garam dan gula secukup rasa.

Cara2 :

Masukkan ayam yg telah dipotong, rebung dan petai yg telah dibersihkan   ke dalam periuk bersama bahan tumbuk. Masukkan secawan santan pekat dan secawan air. 

Bila dah mendidih, masukkan secawan lagi santan pekat. Masukkan juga asam keping. Kalau nak lebih kuah boleh tambahkan air lagi.. Kacau dan perasakan dengan garam dan gula. 

Jangan biarkan santan pecah minyak. Kacau sentiasa. Bila telah mendidih sekali lagi bolehlah diangkat.


p/s : My hubby dan anak2 memang mempunyai tahap kepedasan yang tinggi. Taruh 20 biji cili api pun boleh kata tak pedas. Nanti nak letak 30 biji plak... engko rasa?


Tuesday, September 13, 2016

Tuesday, September 13, 2016

Kuih Siput..... Projek Bersama Anak2...



Projek kuih siput untuk menghilangkan bosan bersama anak2.... hahaha! Ajak anak2 mengentel sama... seronok dorang mengentel dan menjadikan berbagai bentuk siput.

Rasa pun boleh tahan, ada campuran udang kering sikit telah membangkitkan rasa. Tak ada resepi yang specifik sebenarnya. Cuma ada la membaca resepi kuih siput di FB. Olah je balik.

Bahan2 :

1 kilo tepung gandum
1 cawan margerin
2 biji telur
2 sudu besar udang kering
2 sudu besar cili giling
2 sudu besar serbuk kari
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
5 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
Secekak daun kari
Garam secukup rasa
Air secukup perlu
Minyak masak secukupnya

Cara2 :

Udang kering, jintan manis, jintan putih, bawang merah dan bawang putih dikisar bersama sedikit air. Masukkan  tepung dan margerin dalam mangkuk adunan dan di adun sehingga menjadi seperti serbuk roti. Masukkan telur, bahan kisar, cil giling dan serbuk kari.

Masukkan juga garam secukup rasa. Adunkan dan masukkan air sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh. Gunakan acuan kuih siput... ambil secubit adunan, lekatkan memanjang atas acuan dan gulung. Buat sehingga habis.

Waktu menggoreng, masukkan satu  pelepah daun setiap kali menggoreng. Apabila kuih siput dah kuning kecoklatan... boleh diangkat. Angkat sekali bersama daun kari. Daun kari memberi aroma yang wangi kepada  kuih siput.

Simpan didalam bekas kedap udara untuk mengelakkan lemau. Sesuai dimakan waktu2 rehat sambil bersembang dan menonton tv.

p/s : Sedap... tapi renyah membuatnya. Patut la yang dijual tu mahal sungguh!

Friday, August 26, 2016

Friday, August 26, 2016

Donut Gebu....


Beberapa hari lepas, kerajinan menjelma lah sikit. Maka terjadilah kuih ni. Salah satu kuih kegemaran anak2. Masak sendiri boleh makan puas2 kan.... Kalau beli kat dunkin donut tu punyalah mahal. Tapi takdelah berhias dan bericing bagai.... ala, sedap jugak walau tabur gula jer.

Buat dengan 1/2 kilo tepung jer. Itupun dah dapat banyak. Janji anak2 dan suami puas makan. Nanti bolehlah buat selalu.... bila timbul kerajinan la.... hehe! Jom kita tengok resepi.... Resepi biasa jer, simple!

Bahan2 :

1/2 kg tepung gandum
1/2 cawan marjerin
1 sudu besar susu pekat
1/2 peket mauripan
1 sudu teh garam
Gula halus secukupnya

Cara2 :

Mula2 campurkan mauripan dengan dengan bancuhan 1/2 gelas air suam bersama 1sudu besar susu pekat.Tunggu sampai air susu itu berbuih dan kembamg menandakan yis mauripan itu boleh dugunakan. 

Sementara itu masukkan tepung dalam bekas bersama bersama garam dan marjerin. Gaul sehingga menjadi serbuk roti. Masukkan campuran yis mauripan ke dalam adunan yang digaul tadi. 

Adun sebati selama lebih kurang 5 minit hingga menjadi doh. Sekiranya adunan kering,boleh ditambah air sikit2. Jangan terlebih uli, nanti tak jadi gebu kuih donut. Biarkan adunan selama 30 minit hingga 1 jam.

Terap atau bentuk menjadi gegelang seperti biasa. Dah siap, bolehlah digoreng. Lepas tu boleh digaul dengan gula halus dan dihidangkan.

p/s : Gebu ni takde kena mengena dengan mat gebu yer....hihi!


Monday, August 22, 2016

Monday, August 22, 2016

Red Melon Cake ..... Kek Eksperimen....Hehe!


Tergerak hati nak makan kek. Kumpul bahan2 yang mana ada jer. Maka terjadilah kek ni. Adaptasi dari resepi kek buah. Disebabkan teringin juga nak makan kek red velvet.... aku warnakan merah. Ada sebekas chocolate rice... tambah jer.

Nasib baik menjadi dengan jayanya. Oh yer... gula hangus tu aku gantikan dengan 3 sudu besar madu lebah. Boleh tahan la kesedapannya. Macam buah tembikai pun ada rupa kek ni...hihi!. Memula tu risau jugak takut tak menepati citarasa. 

Anak2 dan en. somi semua suka jer.... Ngap2 jer habis di makan. Nanti boleh buat lagi....yeay!!

Bahan2 :

300 gm tepung gandum
150 gm gula  halus
4 biji telur- kalau telur kecik 5 biji 
1 ketul buttercup (250g)
1 botol chocolate rice
1 sudu teh serbuk pewarna merah
1 sudu teh soda bicarbonate
1 sudu teh esen vanila
3 sudu besar madu lebah
aluminium foil

Cara2 :

Ayak tepung bersama soda bicarbonate. Gaulkan mentega dengan gula halus sehingga kembang dan sebati. Masukkan esen vanila dan masukkan telur satu persatu. Masukkan pewarna. Terus mengacau sehingga sebati. jangan pukul terlalu kuat. Sikit2 je, asal dah sebati... berhenti. 

Masukkan pula tepung bercampur soda bicarbonate. Kaup dan balikkan tepung dengan berhati-hati sehingga tepung sebati dengan adunan.Campurkan madu lebah dan chocolate rice.Gaul lagi sampai rata. 

Masukkan kedalam acuan yang telah digris dengan buttercup dan di tabur sedikit tepung. Tutup acuan dengan aluminium foil dan kukuslah dalam kukusan yg airnya telah mendidih selama lebih kurang 1 jam.

p/s :  Merahnya mak ngah..... hahaha!


Sunday, August 14, 2016

Sunday, August 14, 2016

Kuay Teow Kuah Laksam

Teringin punya pasal dengan laksam.... ada beberapa kali pergi pasar malam, cari tak jumpa. Tapi banyak kali tangguh sebab malas sungguh nak membuat tepungnya tu. Renyah sesangat nak membuatnya tu. So,transform this solution..... kuay teow. Dah pernah buat sekali dulu macam ni....

Ala... kita yang buat dia... Ikut ajer la sesedap rasa. Hari minggu ni, inilah juadah hidangan tengahari. Anak2 on jer.... Sedap hingga menjilat jari wooo....huhu!



Bahan2 : 

2 paket kuay teow
6 ekor ikan kembung/sardin
2 cawan santan pekat
5 biji bawang merah
sedikit halia
1 sudu teh lada hitam
garam dan gula secukup rasa

Untuk sambal :
2 biji cili merah
7 biji cili api
4 biji limau kasturi
garam dan gula secukupnya

Untuk sayurnya :
sedikit daun kesum 
sedikit taugeh

Cara2 :

Kuay teow di basuh dan ditoskan. Ikan direbus dan ambil isinya. Tulang2nya dikisar bersama air rebusan dan ditapis ambil airnya sahaja. Kisar isi ikan bersama bawang merah, dan lada hitam. Masukkan bahan2 tadi kedalam periuk. Didihkan bersama santan, Sesuaikan ikut kepekatan yang di ingini. Perasakan dengan garam dan gula. Bolehlah diangkat. 

Untuk buat sambalnya, cili merah, cili api ditumbuk lumat bersama garan dan gula. Masukkan kedalam bekas dan perahkan limau kasturi.

Untuk hidangan, masukkan kuay teow kedlm pinggan. Letakkan daun kesum dan taugeh. Lepas itu barulah masukkan kuahnya dan sedikit sambal. Sedia untuk di makan.

p/s : Buat hidangan tengahari di hari minggu...



Sunday, August 7, 2016

Sunday, August 07, 2016

Carbonara...... Oh Carbonaraku..... Sedapnyer!


Alamak..... dah berserabut dan agak bersawang blog nih. Nasib baik masih ada lagi yang sudi bertandang dan menjadi tetamu di sini. Terima kasih semua, tanpa awak2 semua siapalah diriku.  Aku bukan seorang chef. apatah lagi pakar masakan..... cuma yang ada resepi biasa2 santapan keluarga. Untuk suka2 jer letak kat blog ni....

Ari ni mood nak update blog masak ni tetiba je kembali. Selama ni..... ari2 masak tapi tak rasa nak ambil gambar dan letak  kat blog. Salah satu sebab..... tak pandai nak ambil gambar cantik macam blogger masakan yang lain. Dan yang pasti...... aku tak ada peralatan pinggan mangkuk cantik. Ari ni rasa tak peduli.... redha seadanya.

Masakan aku ari ni, spagheti carbonara jer.... Hari ni makan tengahari dengan spagheti...... Sesekali jer... Pengganti nasi dan lauk, mengenyangkan juga.... Anak2 suka sangat... Itu yang selalu buat tu. Aku ajak anak2 gotong-royong menghiris bahan2 tu semua. Cepat sikit siapnya... hehe!

Aku buat ikut cara aku jer.... Dan bahan2 aku olah sendiri dengan cara tersendiri....huhu!

Bahan2 :

1 paket spaghetti
1 paket sosej
1 tin susu cair
1 paket cendawan kelabu
5 biji cili merah
2 biji tomato
1 batang lobak merah
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 sudu makan serbuk lada hitam
6 keping kepingan cheese
1 ketul kiub ayam
1 sudu makan oregano - kalau xde, xpe
Garam secukup rasa
Minyak masak secukupnya.

Cara2 :

Spaghetti direbus sehingg lembut bersama sesudu kecil minyak masak dan secubit garam.Toskan tetapi sedikit air rebusan jangan buang. Ambil dan ketepikan. Bawang putih di cincang halus. Bawang besar, cili merah dan tomato dipotong dadu. 

Sosej dan cendawan dihiris kecil . Lobak merah di parut kasar. Tumiskan bawang putih sehingga wangi. Masukkan sosej, tomato, bawang besar, cendawan, lobak merah dan cili merah. 

Kacau rata. Lepas tu masukkan susu cair. Masukkan juga serbuk lada hitam dan kiub ayam. Jika kuah kering, masukkan sedikit air rebusan spagheti. Kalau nak nampak cair, boleh letak air lagi.

Masukkan cheese yang telah disiat. Kacau sehingga sebati. Masukkan spaghetti yg telah direbus lembut. Kacau rata. Perasakan dengan garam dan gula.

Siap.... boleh terus dihidangkan...

p/s : kali ni buat guna spagheti yang halus, vermicelli... en.somi beli kata lidi yang besar tak jumpa... haha!


Saturday, March 19, 2016

Saturday, March 19, 2016

Fruit Cake.... So Easy!

Dah lama tak menyinggah kat blog ni.... apa lagi nak buat entry. Bukan tak masak tapi buat masakan yang biasa2 sangat. Tak ada juadah yang bagus nak di update..... 

Rumah yang aku tinggal sekarang ni, menyukarkan aku untuk memasak... Dapur sempit, kawasan tak sesuai.... Penuh barang pun iye dan banyak benda susah nak cari bila nak guna. Setakat masak makanan harian tu bolehla....

Tapi kelmarin, tekak teringin nak makan kek. So, buatlah yang kukus je. Tak larat nak bawa keluar oven.... nak letak mana kalau nak guna, serba serbi sempit ....

Jadilah kek kukus buah a.k.a fruit cake yang mudah2 jer... Separuh dari resepi asal.. Resepi asal dari myresepi dan dah olah di SINI.



Bahan2 :

300 gm tepung gandum
150 gm gula  halus
4 biji telur 
1 ketul butter
1 cawan mix fruit
1 sudu teh soda bicarbonate
1 sudu teh esen vanila
3/4 cawan gula - buat gula hangus
aluminium foil

Cara2 :

Gaulkan fruit mix dengan sedikit tepung. Ketepikan. Ayak tepung bersama soda bicarbonate. Gaulkan mentega dengan gula halus sehingga kembang dan sebati. 

Masukkan esen vanila dan masukkan telur satu persatu. Terus mengacau sehingga sebati. jangan pukul terlalu kuat. Sikit2 je, asal dah sebati... berhenti. 

Masukkan pula tepung. Kaup dan balikkan tepung dengan berhati-hati sehingga tepung sebati dengan adunan.  Buat pula gula hangus. Masukkan gula kedlm periuk dan kacau di atas api perlahan sehingga berwarna keperangan. Bila gula dah keperangan, masukkan kedlm adunan cepat2 dan terus mengacau sehingga gula sebati. 

Masukkan pula  mix fruit yg telah dicampur  tepung tadi. Gaul lagi sampai rata. Masukkan kedalam acuan yang telah digris dengan butter dan di tabur sedikit tepung. Tutup acuan dengan aluminium foil dan kukuslah dalam kukusan yg airnya telah mendidih selama lebih kurang 1-2 jam.


p/s : Lepaslah kempunan makan kek. Disebabkan dah lama tak buat,sekejap jer dah nak selesai...berebut2 makan dengan my hubby dan anak2.


Monday, February 15, 2016

Monday, February 15, 2016

DONUT NESTUM

Tertarik dengan donut nestum yang dibuat kawan dalam group wassap..... Aku pun mulalah bercadang nak buat donut nestum ni. Berbulan2 jugalah berkira2 nak mencari kerajinan, kelmarin baru aku berjaya membuatnya.

Rasanya sama jer macam donut yang biasa... cuma ada bau nestum dan rasa nestum. Kalernya lebih gelap dari biasa. Dah pasti budak2 suka.... Nak buat pun taklah susah.  Dari resepi biasa, olah dan ganti separuh dari tepung dengan nestum. Itu jer. 


Bahan2 :

300g tepung
300g nestum
60g gula
60g marjerin
2 biji telur
10g mauripan (1 paket )
1st garam
Air secukupnya
Minyak masak  secukupnya
Gula halus/ gula icing untuk salut donut

Cara2 : 

Campurkan bersama tepung, nestum, gula, majerin, telur, mauripan dan garam. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga doh boleh dibentuk dan tak melekat di tangan. Rehatkan doh selama sekurang2nya 2 jam. 

Bila dah 2 jam, uli doh sekejap dan terap dengan acuan gegelang. Rehatkan doh yang telah diterap sekejap sekurang2nya 10 minit. Bolehlah digoreng terendam dalam minyak yang banyak sehingga warna kuning kecoklatan.  

Toskan sebentar, selepas tu gaulkan donut bersama gula halus. Bolehlah dihidangkan untuk minum petang.



p/s : Anak2 pasti suka bau dan rasanya yang sedap tu....!




Sunday, January 31, 2016

Sunday, January 31, 2016

Ayam Sambal Black Pepper

Baru perasan sejak awal tahun ni baru satu entry aku buat uttk blog nih...... Itu lah pasal.... sibuk mengupdate blog sebelah... hihi! Gambar masakan ada sekeping dua sebenarnya tapi asyik lupa je plak.

So, entry hari  ni.... lauk ayam je la. Lauk simple jer ni, yang pasti meletup. Sedapppp...! Anak2 kalau lauk ayam suka jer...



Bahan2 :


1/2 ekor ayam - di potong ikut suka
2 biji bawang merah
1 biji bawang putih 
1cm halia
1 sudu besar  lada hitam
1 biji bawang besar
1 sudu makan cili giling  
2 sudu besar kicap 
sedikit air asam jawa
1/4 cawan air
Minyak masak secukupnya
garam dan gula secukup rasa
Garam, serbuk kunyit dan tepung jagung- utk menggoreng ayam

Cara2 : 

Ayam setelah di potong di gaul garam, serbuk kunyit dan sedikit tepung jagung. Goreng ayam sehingga garing. Bawang merah, bawang putih, halia dan lada hitam ditumbuk bersama2 hingga lumat.

Tumis  yang telah ditumbuk sehingga kekuningan. Masukkan cikli giling jika suka. Tak taruh pun tak apa. Masukkan  air asam jawa, kicap  dan bawang  besar. Masukkan ayam goreng. Kacau sampai pecah minyak.  Masukkan air. 

Masukkan garam dan gula dan rasakan kesesuaian rasanya. Biar hingga agak pekat. Sudah siap bolehlah diangkat. Sedia di hidangkan.



p/s : Sape nak rasa.... kenalah buat kan! Dah ada resepi tu......!



Wednesday, January 20, 2016

Wednesday, January 20, 2016

Tumis Kacang Panjang Dan Sambal Sardin

Dah lama tak bersiaran di sini.... Nasib baik ada yang sudi singgah lagi. Kalau tidak, bersawang la blog nih. Aku bukannya sibuk mana pun, cuma tak ada masakan2 baru yang dapat ku update di sini. 

Sekarang ekonomi keluarga ku pun kurang stabil. So, masak pun makanan2 ringkas jer. Yang semuanya dah pernah ku update diblog ni. Tapi dek blog ni memaparkan kisah makanan dan masakan... letak ajelah gambar ni.


Inilah juadah hidangan keluarga ku beberapa hari yang lepas..... Simple jer. Nak resepi, boleh klik SINI dan SINI.

Sekarang aku sedang cuba membangunkan blog2 aku yang lain. Ada 2 blog tu. Blog personal dan blog butik. Gigih sebenarnya nak menambah rezeki keluarga. Doakan semoga aku berjaya melakukannya.... aminnnn!

p/s :Teringin nak  buat kek, apakan daya mixer dah rosak ....iskh..iskh...iskh :(



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...