Breaking

Tuesday, September 17, 2019

Tuesday, September 17, 2019

Resepi Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!

Beberapa hari sebelum Aidiladha, aku buat kuih bingka ni. Teringin nak makan punya pasal. Maka inilah kejadiannya bila buat menggunakan pressure cooker ini. Sama je dengan buat cara biasa dalam oven tu. Resepi kuih bingka ni aku ambil dari resepi biasa dan aku buat versi pressure cooker. Menjadi dan dapatlah aku melepaskan rasa kempunan nak makan bingka sedap .... hehehe!

Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!
Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!

Mak kat kampung biasa buat menggunakan acuan yang ada bulat di tengah tu dan letak terus atas api dapur gas yang paling kecil. Tapi aku pun tak tahu kat mana nak dapatkan acuan macam tu. Biasanya aku buat kuih bingka dalam oven saja. Inilah pertama kali aku buat guna periuk tekanan @ pressure cooker ni. 






Aku malas nak keluarkan oven pun sebenarnya. Dah lama oven terperuk kat ceruk bilik. Lagi pun, periuk tekanan atau pressure cooker kan tengah hot dan viral sekarang ini. Akhirnya menjadilah kuih bingka dengan segala kejadiannya. Aku buat manis-manis buah saja. Itu sebab elok buat sendiri. Boleh tentukan kemanisan yang di kehendaki.

Resepi Bingka Pandan Pressure Cooker.... Menjadik!


Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan (1 kotak kecil santan campur air)
3/4 cawan gula
3 biji telur
1 cawan air pandan 
2 sudu besar mentega/marjerin
1/2 sudu teh garam
Bijan untuk tabur

Cara :

Campurkan kesemua bahan dan blend kesemuanya kecuali bijan. Tapiskan adunan untuk mengelakkan adunan berketul-ketul. Lengser kawasan dalaman pressure cooker dengan minyak dan tuang adunan yang telah di tapis. Tabur bijan di atas adunan. 

Setkan pressure cooker dan letakkan ke fungsi membakar atau bake. Ada pressure cooker letak fungsi manual atau steam. Mana-mana pun boleh. Setkan waktu membakar selama dalam 30 - 35 minit. Kalau bahagian bawah tak cukup garing, ulangi prosess membakar 5 -10 minit lagi. Dah siap, sejukkan dulu baru dipotong. 

** Aku buat ni tak letak air pandan hanya pewarna hijau campur esen pandan. Jadi air esen pandan secawan dan setitik dua pewarna hijau je lah jadinya... hihi!

Apapun, siap jugalah juadah bingka pandan pada hari tu untuk di buat juadah minum petang. Orang kampung aku panggil kuih bingka tu kuih bengkang. Entah macammana lah dapat nama tu. Aku pun tak faham. Uhhh... nasib baik kuihnya sedap. 

Nak lihat resepi yang ada di blog ni.. klik SINI

p/s: Lepas ni bolehlah buat kuih bingka pressure cooker pelbagai versi lagi macam bingka jagung, bingka susu, bingka ubi, bingka labu dan macam-macam lagi... ya tak?

Wednesday, September 11, 2019

Wednesday, September 11, 2019

Resepi Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...

Pada hari raya Aidiladha ritu... sehari sebelum raya aku dah siap masak nasi impit, kuah kacang dan rendang daging campur hati dan paru. Itulah hidangan raya kami sekeluarga. Buat banyak juga... rasanya lebih dari kebiasaan. Tapi, menjelang tengahari dah hampir selesai juadah semua tu. Jadi, tengahari raya tu sebelum jumaat, en suami bawa daging korban dari surau. Selain daging korban ada juga satu plastik tulang.

Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...
Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 

Apa lagi setelah berfikir sekejap, aku nak buat sup ajelah. kalau nak buat rendang mana nak cari kelapa atau santan segar. Apatah lagi bahan-bahan yang lain. Bahan dan rempah-rempah buat sup semuanya dah ada tersedia. Yang tak ada cuma daun sup ajelah. Tak apa lah.... Janji menjadi dan boleh di makan.






Buat sup ni bukannya susah... main campak-campak je bahan. Kalau masak secara biasa nak merebus tu makan masa 3 - 4 jam juga untuk melembutkan daging dan menanggalkan isi daging dari tulangnya. Tapi, PC philips tu kan ada. Gunakan ajelah... Tak payah susah, renyah, cepat dan pantas sahaja memasak sup tulang ni 30 minit dah tersedia. Mana-mana PC pun boleh guna juga sama je fungsinya. Jomlah aku letak resepi kat bawah ni...

Resepi Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 


Bahan-bahan:

5 ketul tulang daging korban
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
3 biji kentang 
1 paket sup bunjut
2 sudu besar rempah sup
I batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
Daun sup dan bawang goreng (jika ada)

Cara-cara: 

Tulang daging di bersihkan. Kentang di buang kulit dan di belah empat atau enam. Bawang merah, bawang putih dan halia di hiris halus. Boleh juga di tumbuk tapi kali ni hiris je. Tumiskan bahan hiris bersama kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga sehingga bahan hiris kekuningan. 

Selepas tu masukkan rempah sup bersama sedikit air. Kacau sehingga hampir garing. Selepas tu masukkan tulang daging. Kacau sebati. Masukkan pula air secukupnya. Ikut kehendak sendiri nak banyak mana air tu tapi pastikan air meliputi seluruh tulang daging tu.

Masak Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada...
Masak Sup Tulang Daging Korban, Tak Payah Susah Dan Renyah, PC @ Periuk Ajaib Kan Ada... 

Selepas tu, bolehlah di tutup dan gunakan fungsi pressure untuk daging selama 30 minit. Oh yer, tadi waktu menumis gunakan fungsi stir fry. Selepas 30 minit, buka penutup baru masukkan kentang dan perisakan dengan garam dan gula secukup rasa. Gunakan fungsi pressure kembali selama 3 minit untuk melembutkan kentang. 

Selepas tu, boleh lah di hidangkan sup tulang untuk di nikmati. Jika ada daun sup dan bawang goreng bolehlah di tabur atas. Kalau tak ada, makan ajelah... hihi! Prosess memask dalam masa 30 - 40 minit dah siap apabila menggunakan pressure cooker. Daging pun lembut sangat untuk di kunyah. Kalau cara biasa makan masa 3 - 4 jam untuk siap.

Berselera sungguh kami sekeluarga makan tengahari tu berlaukkan sup daging korban. Menjelang malam sup pun dah licin seperiuk. Memang sedap sup daging korban yang betul-betul segar baru di sembelih. Terasa sangat kesegaran dan kemanisannya. Nak rasa macam ni lagi , tunggu raya tahun depan pula lah.... 

Oh yer... kalau nak tengok resepi lagi di blog ni.... klik SINI

p/s : Kenangan masakan sup yang sedap menjilat jari gittew!... :)

Friday, September 6, 2019

Friday, September 06, 2019

Resepi Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam

Pada penggemar ulam-ulaman daun selom memang tidak asing lagi bukan saja di kalangan orang melayu, malah kini orang Cina, India dan kaum yang lain turut menggemarinya. Daun selom atau nama botaninya Oenanthe javanica ini boleh dijumpai hampir seluruh kawasan Asia, terutamanya India, Pakistan, Jepun, Taiwan dan China. Ianya tumbuh liar dikawasan bertanah lembap seperti paya dan tepi sungai.

Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam
Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam

Daun dan batangnya berwarna hijau dan bunganya bersaiz kecil dan berbunga kecil. Rasanya yang lemak-lemak dan sedikit pedas memang menambat hati pengemarnya. Sedap di buat kerabu atau ada yang panggil urap. Boleh juga di cicah sambal belacan, budu dan cencalok. Tak kisahlah bagaimana cara daun selom ini di makan tapi yang sebenarnya daun selom ini juga mempunyai khasiat dan manafaat kepada kesihatan kita. Antara khasiatnya adalah :

- Mengandungi banyak air iaitu 91.6 % air, 1.1 % protein, 0.4 % lemak, 4.4 % karbohidrat, 1.0 % serabut dan 1.5 % abu. 

- Meredakan penyakit seperti bisul, terkena gigitan kuda, ular, kala jengking, dan bengkak kerana kanser. Caranya: dengan melumatkan daun dan batang kemudian sapu pada bahagian yang sakit atau terkena gigitan. 

- Rebus daun selom dan airnya diminum sebagai penawar demam selesema, batuk, susah buang air kecil dan buang air bercampur darah. 






Kelmarin  ada kawan buat kerabu daun selom ni. Dia tunjuk gambar dan siap bagi resepi cara-cara buat kerabu ni di group whatssap. Sebelum gambar dan resepi hilang di telan angin lalu dari handphone, aku nak abadikan gambar dan resepi tu di blog ini. Nanti nak pergi pasar beli daun selom buat kerabu tapi hujung minggu baru dapat pergi. Minta en suami belikan... katanya tak kenal yang mana satu daun selom. hurm!

Resepi Kerabu Daun Selom Yang Sedap, Juga Boleh Di Jadikan Ulam


Bahan-bahan:

Daun selom
Udang kering
Cili api
Cili Merah
Bawang besar
Kerisik/kelapa parut
Limau kasturi

Cara-cara:

Daun selom di racik kasar. Udang kering, cili api, cili merah di tumbuk halus, Bawang besar di hiris nipis. Gaul bahan tumbuk, bawang besar hiris bersama daun selom dan kerisik/ kelapa parut. Perah limau kasturi dan perasakan dengan garam dan gula. Siap dan boleh di hidangkan.

Semua bahan-bahan ikut banyak yang di pelukan. Tiada specifik banyak mana yang di perlukan. Ikut sesedap rasa sendiri. Nak banyak, nak pedas atau kurang pedas atau nak lebih masam, masin dan manis pun ikut pilihan sendiri.

Dan lagi kalau nak letak belacan pun boleh. Kalau nak letak kerisik pun boleh, kelapa parut pun boleh atau kelapa sangai pun boleh ikut citarasa sendiri juga. Menurut kata kawan yang bagi resepi dan gambar ni semalam, kerisik masih beku jadi dia letak kelapa parut sebab nak cepat makan.

Pokok selom ini senang di biakkan. Ia boleh ditanam di dalam bekas, di atas batas atau pun secara hydroponik. Pokok selom memerlukan tanah yang mempunyai bahan organik dan kelembapan yang tinggi untuk hidup subur. Ia boleh dituai selepas dua bulan ditanam dan tahan tumbuh bertahun-tahun lamanya.

Nak lihat berbagai resepi dari blog ini... klik SINI  Oh yer lupa plak kenalah kredit kat empunya gambar ni kan! Terimakasih ipah bagi izin gambar dan resepi tayang di blog ni.

p/s : Nanti mesti nak tanam pokok selom, senang nak buat ulam dan kerabu. Hai rumah, bilalah nak siap!

Saturday, August 31, 2019

Saturday, August 31, 2019

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!

Dua hari lepas lauk masak lemak cili api nenas bersama tulang ikan masin inilah yang jadi hidangan keluarga aku. Dah lebih ratusan, mungkin dah ribuan kali aku masak lauk ni. Kesedapanyan dah tentulah dari masam-masam manis nenas di tambah kemasinan ikan masin dan lemak santan kelapa. lebih-lebih lagi berperisa pedas citarasa masakan Negeri Sembilan yang sinonim dengan masak lemak cili api yang pedas meletup.

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!
Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!

Macam biasa, en suami yang paling suka akan masakan ini. Maklumlah dia anak Negeri Sembilan jati. Itulah masakan yang mesti ada sekurang-kurangnya 2 - 3 kali seminggu atau mungkin lebih tapi tukar-tukarlah bahan-bahannya walau masih di panggil masak lemak cili api juga. Memang bertambah-tambah nasi di pinggan di buatya.

Kepedasan ikut citarasa sendiri tapi boleh di sesuaikan rasanya untuk yang tak nak terlalu pedas. Kalau orang Negeri Sembilan memang nak terasa kepedasannya. Barulah sedap terangkat rasanya. Ikan masin tu, kali ini en suami beli yang besar gedabak tulangnya. Tapi masih banyak lagi isi pada tulang-tulang tu. Keras betul tulang-tulang tu sehingga bersusah payah nak memotongnya.






Pastikan santan betul-betul pekat. nanti kalau cair memang pecah dia punya kuah tu dah tak cantik dan rasa pun jadi kurang. Faktor mengacau masa memasak pun penting iaitu kena kacau sentiasa untuk mengelakkan santan pecah minyak. Jadi jangan tinggalkan dapur walau sekejap. Marilah kita tengok resepi pula.

Resepi Masak Lemak Cili Api Nenas Bersama Tulang Ikan Masin... Sedap Weyh!


Bahan-bahan:

1 biji nenas sederhana
1 keping tulang ikan masin
15 biji cili api
1/2 inci kunyit hidup
2 ulas bawang merah
1 batang serai
2 cawan santan pekat 
1keping asam keping
1 atau 2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

Nenas di buang kulit dan hidungnya serta di hiris nipis dan kecil. Tulang ikan di potong ikutlah besar mana yang di kehendaki. Cili api di tumbuk lumat bersama kunyit hidup dan bawang merah. Serai di titik sahaja.

Masukkan bahan tumbuk, serai dan asam keping ke dalam periuk. masukkan secawan santan pekat dan secawan santan cair. Panaskan api dan masakkan bahan sehingga hampir mendidih.

Masukkan nenas dan tulang ikan kacan sentiasa dan tunggu sehingga mendidih lagi. Masukkan secawan santan pekat. Sekiranya nak kuah banyak, boleh masukkan air lagi. Kalau rasa ok, tak perlu. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Pastikan gulai sentiasa di kacau untuk mengelakkan terjadinya pecah minyak. Bila gulai dah mendidih sekali lagi dan sudah pasti gulai elok kejadiannya... bolehlah di angkat tapi truskan mengacau sehingga suhu panas menjadi agak suam agar gulai tak pecah minyak.

Dah siap semua, bolehlah di hidangkan. Nak tengok resepi lagi.... klik SINI

p/s : Rasanya, ummph... sedap macam biasa... hihi !

Wednesday, August 28, 2019

Wednesday, August 28, 2019

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Bila dah ada pressure cooker ni, macam-macam yang nak di masak kat situ. Kali ni aku teringin masak dan makan rendang ayam pencen pula. Hujung minggu lepas terjadilah rendang ayam pencen guna pressure cooker ni. Sedap macam biasa dan isi ayamnya memang jadi betul-betul lembut. Masak pun tak renyah langsung rendang ayam pencen guna pressure cooker ni jadinya.

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker
Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Tapi, macam mana pun takkan sama yang masak macam biasa tenggek atas dapur dan kacau lama tu. Warnanya tak menjadi kehitaman seperti biasa. Dari segi lain iaitu rasa tak jauh beza dan sedap tapi terasa juga rempah-rempah tu tak begitu mercik masaknya. Kalau nak yang tak payah penat mengacau dan menunggu di dapur elok guna pressure cooker la. Abaikan kekurangannya tu kan!





Resepi macam biasa, turun temurun dari Rembau Negeri Sembilan. apapun ada yang dah derhaka sikit. Kata orang, rendang sana tak bubuh asam keping tapi aku letak asam keping. Ikit sukalah sendiri aku je ... kan...! Serbuk kari biasanya pakai yang jual di pekan Rembau dalam paket kecil warna kuning. Tapi tak ada yang tu, kebetulan ritu en. suami ada hal kat sana, tak reti dia nak beli.

Penyediaan Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker
Penyediaan Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker

Kita tengoklah resepi ini... resepi biasa je tapi rasanya tu luar biasa. Dulu masa rajin berniaga, ada dapat tempahan rendang ini dari kawan-kawan dan pelanggan. Sekarang kalau ada pun tempahan dari saudara rapat dan kenalan terdekat je. Kalau ada yang nak tempah, aku buat je, ada juga rezeki.... Membebel lebih-lebih pula... resepi lihat di bawah..!

Resepi Rendang Ayam Pencen Pressure Cooker


Bahan-bahan:

1 ekor ayam pencen 
4 cawan santan pekat (2 biji kelapa)
1 helai kunyit (di koyak) 
3 btg serai (di titik)
4 biji bawang merah (hiris halus)
3 ulas bawang putih (hiris halis)
1/2 inci halia (hiris halus) 
1/2 bungkus serbuk kari daging
1 keping kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang 
2 keping asam keping 
1 sudu teh gula - jika suka 
garam secukup rasa

Bahan Kisar: 

4 biji bawang merah
3 ulas bawang putih 
3 btg serai 
3 inci halia 
1 inci kunyit hidup 
1 inci lengkuas 
20 tangkai cili kering atau 3 sudu besar ciling giling 
20 biji cili api 

Cara Membuat: 

Ayam di potong kecil2. Masukkan ayam, bahan kisar, serbuk kari, serai titik, bahan hiris, daun kunyit, kulit kayu manis dan bunga lawang kedalam pressure cooker. Masukkan juga santan dan asam keping serta garam dan gula. Set pressure cooker ke mod pressure dan pilih mod meat selama 30 minit. 

Selepas 30 minit, pilih pula mod stir fry, dan kacau rendang sehingga kuahnya kering. Sementara tu boleh sesuaikan rasanya dan kalau kurang rasa boleh tambah garam atau gula. Bila dah kering bolehlah di hidang kan. 

Selain terasa sangat mudah memasak rendang kali ni. ada beberapa perkara yang patut aku ubah untuk memasak rendang ini selepas ni. Iaitu kurangkan masa 30 minit tu ke 20 minit atau kurang lagi. Lepas tu sambung keringkan kuahnya di dalam kuali cara biasa. Barulah lebih cantik dan menarik rasa dan rupa masakan tu. Apapun pressure cooker ni dah menjimatkan waktu memasak... kan!

Nak tengok pelbagai resepi dari blog ni... klik SINI

p/s : Aku guna pressure cooker jenama phillips... Apa jenis pressure cooker pun sama jer cuma mungkin tombol tekan tu je yg lain... kan!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...